Adeeba Kamarulzaman (dua dari kanan) menerima sumbangan daripada Pengurus Komunikasi Kumpulan MAA Group Berhad, Deborrah De Costa (tengah) sempena Cabaran Marathon des Sables 2014 di Kuala Lumpur semalam. Turut kelihatan Jeff Lau (kiri), Ralph Dixon (dua dari kiri) dan Fahrin Ahmad. - Utusan/Kamal Basir
KUALA LUMPUR 31 Mac - Dua aktivis sosial, Ralph Dixon dan Jeff Lau akan merentasi laluan paling sukar di bumi, gurun Sahara dalam usaha mengumpul dana selain menyebarkan mesej kesedaran kepada orang ramai tentang penyakit HIV/AIDS di negara ini.
Cabaran MAF Marathon des Sables 2014 sejauh 250 kilometer itu dianjurkan oleh Yayasan AIDS Malaysia (MAF) untuk mencapai misi kesedaran supaya orang ramai menghentikan diskriminasi dan memberi sokongan kepada pesakit-pesakit AIDS.
Pengerusi MAF, Prof. Dr. Adeeba Kamarulzaman berkata, mereka telah mengadakan kempen kutipan dana sejak Januari lalu dan sehingga kini berjaya mengumpul dana keseluruhan sebanyak RM70,000.
"Cabaran itu akan menyaksikan kedua-dua pelari bersaing dalam laluan paling sukar dalam usaha untuk mengumpul dana yang diperlukan bagi dua buah badan kebajikan di bawah MAF.
"Ia melibatkan program rawatan, penjagaan dan sokongan yang memberi perhatian khusus kepada wanita dan kanak-kanak yang menghidap HIV dan Kelab Belia Riben Merah (RRYC) iaitu pertubuhan yang menyasarkan golongan remaja sebagai platform untuk menyalurkan sumbangan bagi menangani epidemik HIV di peringkat akar umbi.
"Dana yang berjaya dikumpulkan ini juga akan digunakan untuk meningkatkan akses kepada rawatan khasnya untuk manfaat komuniti yang terjejas dan terpinggir disebabkan stigma HIV.
"Ia juga akan memudahkan mereka untuk mendapatkan ubat-ubatan yang diperlukan," katanya dalam sidang akhbar MAF Marathon des Sables 2014 di Hotel Grand Hyatt di sini, hari ini.
Turut hadir, wakil Selebriti Sokongan Riben Merah iaitu pelakon, Fahrin Ahmad.
Dalam pada itu, Dixon yang juga Pemegang Amanah MAF bersedia mengulangi pencapaianya pada tahun 2010 apabila melengkapkan percubaan pertamanya dalam Marathon des Sables edisi ke-25.
Katanya, walaupun bakal berdepan kesukaran, dia telah menyediakan dirinya bagi menghadapi cabaran berkenaan.
"Atas dasar tanggungjawab sosial, kami berdua bersedia untuk berlari lagi demi memperjuangkan penghidap HIV dan berharap supaya orang ramai dapat membantu kami tidak kira dari segi moral mahupun bantuan kewangan," katanya,
Sementara itu, Jeff Lau berkata, sudah menjadi tanggungjawabnya sebagai anak muda Malaysia untuk menyebarkan kesedaran tentang bahayanya HIV/AIDS dan secara tidak langsung menggalakkan rakan-rakan seusianya menjalani gaya hidup sihat.
Kempen kutipan dana bagi program itu akan diadakan sehingga akhir April ini dan orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari www.mac.org.my.
Credit: Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:
Post a Comment